Welcome

Delete this widget from your Dashboard and add your own words. This is just an example!
RSS

SEJARAH KEDAH DAN PERKEMBANGANNYA


Pendapat Abu Zaid 916 TM Dan Mas'udi TM
Abu Zaid, seorang penduduk Siraf menulis dalam tahun 916 bahawa :

"Kalah menjadi wilayah Maharaja al-Zabaj (Sri Wijaya) terletak di antara China dan Tanah Arab… Pelabuhan Kalah menjadi tumpuan kapal-kapal dari Uman dan dari sini kapal-kapal bertolak ke Tanah Arab… Kalah ialah pusat perdagangan kayu gaharu, kapur barus, kayu cendana, gading gajah, bijih timah, kayu arang, kayu sepang, pelbagai jenis rempah ratus dan lain-lain barangan yang amat banyak hendak dihitungkan…"(Paul Wheatley, 1961:218)

Mas'udi yang menulis dalam tahun 943 Masihi mengenai penghijrahan saudagar-saudagar Arab dan Iran dari Kanton pada 877 Masihi ke negeri Kedah adalah seorang pengembara Islam yang banyak menulis. Dalam kitabnya bernama "Muruj al-Dhahab wa Ma'adin al-Jawhar" tertulis pada 943, beliau berkata :

"…di sekitar Kalah (Kedah) dan Sribuza (Sri wijaya) terdapat lombong-lombong emas dan perak, ikut jalan laut, Kalah terletak lebih sedikit dari setengah perjalanan antara Negara Arab dan Negara China. Hari ini Kalah menjadi tempat tumpuan saudagar-saudagar Islam dari Siraf dan Uman. Dari sini mereka menaiki kapal China untuk pergi ke Negeri China. Laut Kalah cetek dan sukar dipelayari serta banyak pula pulau-pulau kecil dan selat-selatnya." (Paul Wheatley, 1961:218-219)

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Kedah ialah sebuah pelabuhan besar yang disinggahi oleh saudagar-saudagar Islam Arab dan Iran dalam KM 9 dan awal KM 10 Masihi. Apabila memasuki pelabuhannya kapal-kapal hendaklah menggunakan jurumudi tempatan yang arif dengan laut Kedah.
   
     Sejak 877 Masihi Kedah menjadi sebuah dari pelabuhan Sri Wijaya yang amat sibuk. Saudagar-saudagar Islam dan bukan Islam berkumpul di Kedah sebelum meneruskan pelayaran ke Negara China atau Palembang. Bagaimanapun, Raja Kedah tetap mengekalkan hubungan baik - politik dan ekonomi dengan Negara China.



Selepas penghijrahan 877 Masihi itu, orang-orang China bertindak melayari sendiri kapal-kapal mereka membawa dagangan keluar negeri. Dalam KM 8 dan KM 9 ini, ahli-ahli pelayaran China tidak belayar lebih jauh dari Kedah. Dibawah Dinasti Song dan Ming yang muncul kemudian barulah kapal-kapal China belayar ke tempat yang lebih jauh dari Kedah.



Penduduk Kedah Sudah Islam Sejak 877 Masihi

Orang-orang Arab dan Iran membuka tempat kediaman di tempat mereka berurusan. Begitulah yang terjadi di Kanton, Champa, India, Afrika dan lain-lain tempat. Mereka menjadi orang-orang yang dihormati dan berpengaruh dengan semua lapisan masyarakat.
Tidak dapat diragukan bahawa Islam telah sampai di Kedah dalam KM 9 dan mempunyai penganutnya dikalangan orang-orang Kedah. Dr. Syed Naguib al-Attas membuat andaian bahawa:


"Setelah orang-orang Islam membentuk kawasan kediaman yang agak besar di Kanton (sejak kurun Hijrah pertama atau KM 7 lagi) dan mereka menikmati kebebasan yang luas mengendalikan hal ehwal agama dan undang-undang awam sesama mereka, tentulah senang mereka mengekalkan urusan-urusan penempatan atau perkampungan mereka dan membentuk pula masyarakat Islam di Kedah dan juga di Palembang tempat mereka juga telah berhijrah dari Kanton itu. Penghijrahan ini wajar dikata sebagai satu petanda kedatangan Islam yang paling awal di Nusantara".
(Syed Naguib al-Attas, 1969:11)

Pengembara China pernah menulis bahawa di Kedah didapati ramainya orang yang mempunyai nama berpangkalkan "Pu". Ahli kaji bahasa China bersetuju "Pu" itu ialah "Abu". Ini membuktikan bahawa Kedah mempunyai ramai orang Islam.





Kesan-kesan Awal Islam Wujud Di Kedah

Sebatang nisan di perkuburan Kampung Tanjung Inggeris di Mukim Langgar berhampiran Alor Star terpahat nama "Syeikh Abdul Qadir ibni Hussain Shah Alirah" bertarikh 903 Masihi telah ditemui. Langgar ialah perkataan Iran Tua yang bererti sekolah atau surau tempat belajar agama. Syeikh Abdul Qadir ialah orang Iran. Perkataan "Alirah" itu tidak jelas jawinya mungkin "Shah Alam", atau mungkin "Syah Al-Yara" dan mungkin "Syah Kalahar". Jelas sudah ada perkampungan orang Islam dengan langgarnya di Langgar ini pada masa itu. Dan jika seorang Syeikh meninggal di sini tentulah ada pesantrennya.

Patut benar kita menemui kampung orang-orang Islam di Langgar ini kerana letaknya berhampiran dengan Sungai Kedah yang menjadi jalan rentas dari Kuala Kedah ke Patani dan terus ke China.

Di Lembah Bujang khususnya di Tapak 14, telah ditemui dirham perak zaman Khalifah al-Mutawakkil. Dirham yang ditemui tidak lengkap sekeping dirham, satunya tinggal separuh dan satu lagi cuma sesuku. Di atas sekeping separuh itu tertera tarikhnya 234 Hijrah, yang dikira sebagai 848 Masihi, zaman al-Mutawakkil di Baghdad.
Di Lembah Bujang juga, iaitu di Tapak 18 ditemui serpihan kaca yang apabila dicantum-cantum menyerupai setolop, lampu orang Arab KM 10. Banyak kaca yang ditemui dan mungkin banyak setolop dan corong-corong yang dibawa oleh orang Arab ke situ.
    Beribu-ribu butir manik dalam pelbagai rupa dan bentuk dipungut oleh pengkaji purba di Lembah Bujang dan di Sungai Emas. Diantaranya terdapat juga manik-manik dari Timur Tengah. Selain dari merupakan perhiasan manik ialah juga alat penghebahan atau pertukaran barangan masa itu.

Diantara barangan yang dibawa oleh saudagar Arab dan Iran selalunya ialah kain tenunan atau sulaman, barang-barang kemas dari emas dan permata, cermin muka dari logam yang berkilat, rempah perubatan dan bau-bauan seperti narwastu dan ambar kasturi.

Seketul batu pejal berukuran 19 sm x 37 sm ditemui diantara longgokan batu-batu candi yang tersimpan di Muzium Arkeologi Lembah Bujang, di Merbok Kedah. Di atas batu tertulis dengan huruf Jawi "ibnu Sardan 213".

Adakah batu ini serpihan dari batu nisan atau petanda sempadan tanah tidak dapat dipastikan. Tarikh 213 bersamaan 829 Masihi. Ibnu Sardan ialah nama satu keluarga Arab yang dikenali sebagai ahli ilmu, ahli pelayaran dan pendakwah Islam. Antara nisan-nisan lama yang menarik di Kedah ialah nisan Tok Jambi di Bukit Tinggi, Tok Lidah Hitam di Langgar, nisan Makam Purba di Langkawi, nisan Tok Pasai di Kuala Kedah, nisan yang dikatakan kepunyaan Sultan Muzaffar Syah, Sultan Kedah yang pertama di Pengkalan Bujang - tetapi di Bukit Hijau, Baling; dan nisan-nisan lain di Siputeh, di Langgar, di Tualang dan di Sik, di Anak Bukit dan di lain-lain lagi.

Yang paling menarik ialah makam lama di Kampung Seberang Toh Soh berhampiran Pinang Tunggal, 9 kilometer dari Sungai Petani. Makam itu juga tiada bertarikh dan tiada bernama tetapi bentuk nisannya seperti kebudayaan pembesar Acheh. nisan kepalanya berpahat dengan Kalimah Syahadah dan beberapa ayat Quran.

Orang Kampung Seberang Tok Soh memanggilnya Makam Raja Bersiung kerana letaknya di sisi tapak sebuah kota tanah yang lama. Kepada orang-orang Kedah, apa sahaja yang dikira lama dan misteri dilekatkan nama 'Raja Bersiung' di situ. Bentuk nisan tanpa tarikh dan tanpa nama begini tetap utuh sebagai nisan yang bersejarah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment